Takrifan kestabilan, dan kewujudan isotop semulajadi Isotop_stabil

Kebanyakan nuklid-nuklid yang terbentuk secara semulajadi adalah stabil (terdapat kira-kira 254; lihat senarai di akhir rencana ini); dan kira-kira 34 lagi (berjumlah 288) merupakan nuklid radioaktif yang diketahui dengan separuh hayat yang (diketahui) cukup panjang untuk terhasil "sejak azali". Sesuatu nuklid dinamakan nuklid azali sekiranya separuh hayat nuklid itu adalah lebih kurang dengan atau lebih daripada usia Bumi (4.5 bilion tahun), yang membolehkan sejumlah besar nuklid itu bertahan sejak pembentukan Sistem Suria. Ia akan menyumbang kepada komposisi isotop semulajadi sesuatu unsur. Radioisotop yang wujud sejak azali mudah dikesan jika ia mempunyai separuh hayat sekurang-kurangnya 700 juta tahun (cth., 235U), walaupun sesetengah isotop azali telah dikesan dengan separuh hayat sependek 80 juta tahun (cth., 244Pu). Namun, ini merupakan had pengesanan kini, kerana nuklid dengan separuh hayat terpendek seterusnya (niobium-92 dengan separuh hayat 34.7 juta tahun) masih belum ditemui dalam alam semula jadi.

Banyak radioisotop yang terbentuk secara semula jadi (kira-kira 51 lagi, dan berjumlah 339) memiliki separuh hayat kurang daripada 80 juta tahun, tetapi ia hanya terbentuk daripada proses pereputan nuklid azali (misalnya, radium terbentuk daripada uranium), ataupun daripada tindak balas bertenaga yang sedang berjalan, seperti nuklid-nuklid kosmogenik yang terhasil oleh sinar kosmos yang kini berlanggar dengan atmosfera Bumi (misalnya, karbon-14 yang terbentuk dari nitrogen).

Banyak isotop yang dikelaskan sebagai stabil (dengan erti kata lain, tiada keradioaktifan pernah dikesan daripada mereka) diramalkan memiliki separuh hayat yang teramat panjang (sesetengahnya memiliki separuh hayat selama 1018 tahun atau lebih). Jika separuh hayat yang diramalkan berada dalam julat yang boleh dihitung secara uji kaji, sesuatu isotop mungkin beralih daripada kategori nuklid stabil kepada nuklid radioaktif, setelah keradioaktifannya diperhatikan. Contoh yang baik untuk ini ialah bismut-209 dan tungsten-180 yang asalnya dikelaskan sebagai isotop stabil, tetapi baru-baru ini (2003) telah ditemui keradioaktifannya (pelepasan zarah alfa). Namun, nuklid-nuklid ini tidak berubah statusnya sebagai nuklid azali walaupun keradioaktifannya telah ditemui.

Kebanyakan isotop stabil di Bumi dipercayai dihasilkan melalui proses sintesis nuklear, sama ada ketika Letupan Besar (sintesis nuklear Letupan Besar atau oleh generasi bintang-bintang sebelum pembentukan Sistem Suria. Namun, sesetengah isotop stabil menunjukkan perbezaan kelimpahan di Bumi disebabkan oleh pereputan nuklid radioaktif berjangka hayat panjang. Hasil pereputan ini dinamakan isotop radiogenik untuk membezakannya daripada kumpulan isotop bukan radiogenik yang lebih besar.